Share:

ANKARA – Rakyat Turki semalam mengundi dalam pungutan suara untuk memberi mandat kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan merombak perlembagaan dan mengukuhkan kuasa Presiden.

Kira-kira 55 juta orang layak mengundi dalam referendum kali ini, manakala sejumlah 167,140 pusat mengundi dibuka bagi tujuan itu.

Penduduk di timur Turki membuang undi seawal pukul 7 pagi diikuti sejam kemudian oleh pengundi di kawasan lain di negara itu.

Pusat-pusat mengundi ditutup pada pukul 5 petang (waktu tempatan), manakala rakyat Turki di luar negara mengundi lebih awal.

Keputusan pungutan suara itu pula akan diketahui beberapa jam selepas pusat mengundi ditutup.

Undian ‘Ya’ oleh rakyat Turki akan memberikan kuasa penuh kepada Erdogan, melebihi kuasa pengasas negara Turki, Mustafa Kamal Ataturk dan penggantinya, Ismet Inonu.

Erdogan yang mengundi di Istanbul bersama keluarganya berkata, “rakyat negara ini akan menentukan masa hadapan dengan membuat pilihan tepat.”

Pihak pembangkang bagaimanapun menganggap referendum itu berat sebelah berikutan kempen ‘Ya’ yang diadakan secara besar-besaran, manakala suara pembangkang dikongkong.

Pungutan suara itu berlaku ketika Turki berada di bawah perintah darurat yang menyaksikan seramai 47,000 orang ditangkap sejak cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai tahun lalu.

“Sistem kuasa mutlak (Presiden) sedang diwujudkan. Justeru, saya mengundi ‘Tidak’. Saya pilih ‘Tidak’ kerana mahukan sebuah Parlimen yang kuat,” kata Hasan Celik, 29, selepas mengundi di bandar terbesar di tenggara Turki, Diyarbakir

Undi ‘Ya’ akan mengakibatkan sistem demokrasi berparlimen Turki digantikan dengan kuasa mutlak Presiden. Rombakan perlembagaan itu akan memberi kuasa kepada Erdogan untuk melantik menteri-menteri tanpa melalui pejabat Perdana Menteri.

Perlembagaan baharu itu akan berkuat kuasa selepas pilihan raya pada November 2019. – AFP/Reuters

Sumber: Kosmo! Online

Share: