Share:

KUALA LUMPUR: Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat bagi pemegang pasport Malaysia masih dibincangkan, kata Timbalan Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Asia Tenggara di Biro Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik, Patrick Murphy.

"Malaysia sedang berusaha bagi memenuhi sesetengah keperluan (yang ditetapkan Jabatan Negara Amerika Syarikat) dan ia boleh dibincangkan pada masa depan," katanya dalam kenyataan sebagai respons kepada soalan Bernama mengenai status program itu yang telah dibincangkan selama dua tahun.

Isu ini menjadi keprihatinan dalam kalangan rakyat Malaysia yang ingin melawat Amerika Syarikat susulan larangan perjalanan oleh pentadbiran baharu di bawah Presiden Donald Trump, yang pihak tersebut khuatir larangan itu juga termasuk negara lain.
Dilaporkan Malaysia telah menyatakan hasrat untuk menyertai program pengecualian visa itu semasa perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Amerika ketika itu Barack Obama semasa kunjungan beliau ke Malaysia pada April 2014.

Menerusi program itu, rakyat Malaysia boleh memasuki dan menetap di Amerika Syarikat tanpa visa bagi tempoh maksimum 90 hari untuk melakukan urusan pelancongan dan perniagaan.

Pada 27 Jan lalu, Malaysia melahirkan keyakinan pentadbiran Amerika Syarikat di bawah Trump akan meneruskan program pengecualian visa bagi Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia memenuhi semua keperluan kecuali satu syarat yang ditetapkan.

Syarat itu melibatkan mengekal peratus permohonan visa di bawah tiga peratus, kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

Kini kadar penolakan ialah 3.7 peratus dan Malaysia yakin dapat memenuhi syarikat tiga peratus menjelang September 2018, katanya.

— BERNAMA

Sumber: Astro Awani

Share: