Share:

BRASILIA – Polis Brazil berjaya menahan 14 orang dan merampas wang tunai berjumlah lebih AS$1 juta (RM4 juta) yang dirompak melibatkan sekumpulan samseng di Paraguay baru-baru ini.

Serangan pada Isnin lalu yang melibatkan kira-kira 50 lelaki bersenjata api di bandar Ciudad del Este berhampiran sempadan negara ini menyebabkan tiga perompak dan seorang anggota polis terbunuh.

Serangan dan rompakan tersebut disifatkan sebagai yang terbesar dalam abad ini.

“Dalam kejadian itu, perompak berkenaan berjaya melarikan wang tunai AS$8 juta (RM34 juta),” kata syarikat kawalan ke­selamatan, Prosegur yang bertanggungjawab dalam perkhidmatan penghantaran wang.

Kumpulan penyerang terbabit dilaporkan menggunakan bahan letupan serta senjata gred tentera ketika meletupkan bilik kebal yang menempatkan sejumlah wang tunai.

Pada Rabu lalu, polis persekutuan berkata, mereka berjaya merampas semula wang tunai kira-kira AS$1.4 juta (RM6 juta) dalam bentuk pelbagai mata wang selain senjata api dan bahan letupan.

Seorang anggota polis pula berkata, dua orang suspek telah ditangkap yang membawa penahanan kepada 12 orang lagi sejak kejadian itu.

Kumpulan berkenaan didakwa melibatkan anggota First Capital Command iaitu salah satu daripada geng dadah pa­ling berkuasa di negara ini. – AFP

Sumber: Kosmo! Online

Share: