Share:

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpendapat terdapat "kemungkinan besar" untuk mengenakan sekatan baharu ke atas Korea Utara sebagai tindak balas terhadap tindakan negara itu melancarkan peluru berpandu, kata Presiden majlis Elbio Rosselli, lapor agensi berita China Xinhua.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama 15 anggota Majlis Keselamatan berhubung isu Korea Utara.

Mesyuarat diadakan dua hari selepas Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu balistik.

Rosselli yang juga Duta Besar Uruguay ke PBB turut menyuarakan bantahannya terhadap ujian nuklear berterusan oleh Korea Utara dan Majlis Keselamatan akan mencari penyelesaian bagaimana cara untuk menghentikan sebarang ancaman.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan PBB menekankan kepentingan mengekalkan keamanan serta kestabilan di Semenanjung Korea dan Timur Laut Asia, sambil menggesa Pyongyang menunjukkan komitmen ikhlas mereka mencari penyelesaian segera.

Selain itu, beliau menggesa semua negara anggota PBB menunaikan tanggungjawab di bawah resolusi Majlis Keselamatan berhubung sekatan ke atas Korea Utara.

Resolusi Majlis Keselamatan sebelum ini, melarang Korea Utara menjalankan sebarang pelancaran menggunakan teknologi peluru berpandu balistik, ujian nuklear atau provokasi lain.

Majlis Keselamatam telah mengenakan sekatan ketat terhadap Korea Utara termasuk mengharamkan penjualan dan pemindahan arang batu, besi dan bijih besi dari negara berkenaan.

— BERNAMA

Sumber: Astro Awani

Share: