Share:

ACAPULCO, Mexico – Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan sembilan yang lain cedera dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas pelancong dan lori tangki di selatan Mexico kelmarin.

Setiausaha Perkhidmatan Perlindungan Awam Guerrero, Marco Cesar Mayares berkata, kemalangan itu mencetuskan letupan yang membunuh pemandu lori tangki dan sebilangan penumpang bas itu di sebuah lebuh raya di negeri Guerrero.

Jurucakap negeri Guerrero, Roberto Alvarez Heredia pula berkata, 24 orang terbunuh, meningkat berbanding anggaran awal oleh Mayares.

Perkhidmatan Perlindu­ngan Awam memetik bebe­rapa mangsa sebagai berkata, mereka dalam perjalanan ke sebuah pantai di daerah Ixtapa-Zihuatanejo di Guerrero ketika nahas berlaku.

“Kami dapat merasakan rempuhan kuat dari belakang bas sebelum letupan berlaku,” mereka dipetik sebagai berkata.

Segelintir penumpang bas berkenaan berjaya menyelamatkan diri ketika bas terbakar.

Mangsa-mangsa yang ce­dera telah dibawa ke hospital di negeri Michoacan yang berjiran dengan Guerrero. – AFP

Sumber: Kosmo! Online

Share: