Share:

DAMSYIK – Angka kematian akibat letupan bom ke atas sebuah konvoi bas di luar bandar kedua terbesar di Syria, Aleppo mencecah sekurang-kurangnya 112 orang, kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria (SOHR) semalam.

Pekerja penyelamat dan Pertahanan Awam Syria berkata, mereka mengalihkan sekurang-kurangnya 100 mayat dari lokasi kejadian kelmarin.

Letupan itu mengenai beberapa buah bas yang membawa penduduk Syiah dari kawasan yang dikuasai kumpulan penentang di Aleppo menuju ke wilayah kerajaan susulan perjanjian pemindahan yang dipersetujui kedua-dua pihak.

SOHR berkata, angka korban itu dijangka terus meningkat.

Mereka yang mati kebanyakannya merupakan penduduk kampung Al-Foua dan Kefraya di wilayah Idlib, namun pejuang kumpulan penentang yang mengawal konvoi itu turut terbunuh, kata SOHR.

Setakat ini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab tetapi media rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad mendakwa serangan bom kereta itu dilakukan oleh pengebom bunuh diri.

Konvoi tersebut membawa sekurang-kurangnya 5,000 orang termasuk sejumlah pejuang pro-Bashar yang diberikan laluan untuk keluar dari dua perkampungan tersebut.

Kampung Al-Foua dan Kefraya yang merupakan perkampungan Syiah kini dikepung oleh pihak penentang.

Di bawah perjanjian itu juga, lebih 2,000 orang termasuk pejuang penentang diberikan laluan selamat dari Madaya, sebuah bandar dekat Damsyik yang dikepung tentera Bashar. -Reuters

Sumber: Kosmo! Online

Share: