Share:

WASHINGTON – Korea Utara dikatakan bersiap sedia untuk melancarkan ujian peluru berpandu nuklear di tapak ujian Punggye-ri, lapor Kumpulan 38 Utara kelmarin.

Kumpulan pemantau itu menyifatkan tapak ujian berkenaan dalam keadaan bersiap sedia untuk pelancaran pada bila-bila masa.

“Imej satelit komersial menunjukkan ada aktiviti berterusan di tapak ujian nuklear Punggye-ri Korea Utara yang terletak di sekitar North Portal sejak kelmarin dan beberapa individu berada di sekitar pusat arahan tapak berke­naan,” kata laman web kumpulan itu.

Ujian peluru berpandu terbaharu Korea Utara telah mencetuskan kebimbangan Amerika Syarikat apabila mengatakan bahawa Pyongyang mungkin membangunkan peluru berpandu balistik antara benua yang mampu mencecah ke AS.

Terdapat beberapa spekulasi yang turut mengatakan bahawa negara berkenaan sedang bersedia untuk melancarkan peluru berpandu atau ujian nuklear keenam sempena ulang tahun kelahiran pengasasnya, Kim Kim Il-sung ke-105 pada Sabtu ini.

Laman web Voice America kelmarin memetik kenyataan kerajaan AS sebagai berkata, Korea Utara kelihatan seperti meletakkan satu peralatan nuklear di dalam sebuah terowong dan bakal dilancarkan pada Sabtu ini.

AS turut mengancam untuk menyerang Korea Utara selepas melancarkan serangan ke atas pangkalan udara Shayrat di bandar Homs, Syria minggu lalu.

“Kami akan menghantar sebuah armada perang. Ia sangat kuat. Kami memiliki sejumlah kapal selam yang jauh lebih kuat berbanding kapal pengangkut pesawat,” kata Trump.

– AFP

Sumber: Kosmo! Online

Share: