Share:

LOS ANGELES – Jumlah golongan gelandangan di Los Angeles meningkat dengan ketara kepada 23 peratus berbanding tahun lalu walaupun terdapat usaha untuk menangani krisis tersebut, demikian data baharu yang dikeluar­kan kelmarin.

Menurut Lembaga Perkhidmatan Gelandangan Los Angeles (LAHSA), terdapat 57,794 orang gelandangan pada masa kini berbanding 46,874 pada tahun 2016.

Jumlah peningkatan tersebut didapati amat ketara dengan sejumlah 34,189 orang tidak mempunyai tempat berlindung.

“Sukar untuk menerima peningkatan jumlah tersebut,” ujar Datuk Bandar Los Angeles, Eric Gar­cetti dengan menambah bahawa kaedah kajian yang lebih baik boleh menjelaskan punca peningkatan tersebut.

Beliau memberitahu, kenaikan sewa dan kos sara diri yang tinggi menjadi antara punca kepada krisis kronik tersebut yang melanda Los Angeles sejak beberapa tahun sehingga digelar Ibu Negara Gelandangan Amerika Syarikat.

“Kita tidak akan mem­biarkan sewa meningkat dua kali ganda setiap tahun,” ujar Garcetti yang berasa kecewa melihat peningkatan jumlah gelandangan warga emas.

Berdasarkan data tahun 2017, terdapat 4,828 gelandangan warga emas pada satu-satu masa di Los Angeles iaitu pe­ningkatan sebanyak 57 peratus berbanding tahun 2016.

Data gelandangan yang diambil selama tiga malam pada Januari lepas dilakukan secara tahunan oleh LAHSA.

Data daripada kerajaan Persekutuan pula dilakukan setiap dua tahun sekali. – AFP

Sumber: Kosmo! Online

Share: