Share:

MANILA – Sebanyak 11 anggota tentera maut, manakala tujuh lagi cedera selepas terkena serangan bom tentera udara yang sepatutnya disasarkan kepada pemberontak di bandar Marawi, selatan Filipina,

“Kumpulan tentera kita terkena serangan oleh tentera sendiri, 11 terbunuh,” kata Setiausaha Pertahanan, Del­fin Lorenzana semalam.

“Kejadian itu amat menyedihkan tetapi kadangkala berlaku di sebalik kabus tebal akibat peperangan. Penyela­rasan serangan itu dijalankan secara tidak sempurna,” katanya.

Pasukan keselamatan kini giat memerangi militan yang mengibarkan bendera hitam kumpulan Daesh di Marawi iaitu salah sebuah bandar Islam terbesar di Filipina dengan sebahagian besar penduduknya merupakan penganut Katolik.

Pada masa yang sama, Lorenzana memberitahu, sekurang-kurangnya lapan militan asing daripada lima negara terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Fili­pina.

Katanya, mereka terdiri daripada warga Arab Saudi, Malaysia, Indonesia, Yemen dan Chechen (Rusia).

Pasukan tentera telah me­lancarkan bedilan roket selain bom dari helikopter ke atas militan yang bersembunyi di rumah penduduk yang ditawan.

Kira-kira 2,000 orang awam turut terperangkap di kawasan yang dikepung, menurut kerajaan tempatan.

Seramai 89 militan dikatakan terbunuh dan sekumpulan lelaki bersenjata telah membunuh sekurang-kurangnya 19 orang awam dalam perang yang tercetus sejak lebih se­minggu lalu. – AFP

Sumber: Kosmo! Online

Share: