Share:

WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat (AS) menetapkan sasaran untuk menghapuskan cawangan kumpulan militan Daesh di Afghanistan pada tahun ini, sebelum ketibaan pejuang Daesh dari Syria dan Iraq.

Sasaran itu ditetapkan selepas AS menggugurkan bom konvensional paling kuat ke atas pejuang Daesh di negara berkenaan.

Cawangan Daesh yang dikenali sebagai Negara Islam-Khorasan (ISIS-K) bertapak di Afghanistan ketika Kabul dan Washington giat memerangi kumpulan Taliban sejak 2001.

Pertama kali muncul pada 2015, ISIS-K menakluki kawasan yang luas di wilayah Nangarhar dan Kunar, dekat sempadan Pakistan, namun pembabitan mereka dalam konflik di Afghanistan ditenggelami operasi ketenteraan terhadap Taliban.

Rakyat AS mula mengetahui kewujudan ISIS-K pada bulan lalu apabila AS menggugurkan ‘Ibu Segala Bom’ ke atas kubu kuat militan berkenaan di Nangarhar.

Pentagon berkata, bom itu merupakan senjata bukan nuklear paling kuat pernah digunakan di medan perang.

Tentera AS dan Afghanistan kemudian menyerang sebuah kawasan berhampiran lokasi pengeboman pada minggu lalu dan membunuh ketua ISIS-K, Abdul Hasib.

Jurucakap tentera AS-Afghanistan, Kapten Bill Salvin berkata, anggota militan Daesh tempatan itu memuncak antara 2,500 hingga 3,000 orang tetapi pembelotan dan kematian akibat perang mengakibatkan bilangan mereka kini merosot kepada 800 orang.

“Kami memiliki peluang baik untuk menghapuskan mereka pada 2017, memberikan mesej jelas kepada pejuang Daesh yang dimusnahkan di tempat-tempat lain di dunia bahawa Afghanistan bukannya tempat untuk kamu datang dan merancang sera­ngan,” kata Salvin. – AFP

Sumber: Kosmo! Online

Share: