Share:

KABUL – Sebanyak 36 militan Daesh terbunuh di Afghanistan apabila Amerika Syarikat (AS) menggugurkan ‘ibu segala bom’, senjata bukan nuklear paling kuat pernah digunakan di medan perang, kata Kementerian Pertahanan Afghanistan semalam.

Angka korban itu belum disahkan tetapi jurucakap Kementerian Pertahanan, Dawlat Waziri berkata, tiada orang awam cedera dalam letupan besar itu yang menyasarkan rangkai­an gua dan terowong bawah tanah di wilayah Nangarhar, timur Afghanistan dekat sempadan Pakistan.

“Hanya pangkalan yang digunakan Daesh untuk melancarkan serangan ke kawasan lain, musnah dalam serangan ini,” kata Dawlat dalam satu kenyataan.

Menurut jurucakap Pentagon, Adam Stump, bom seberat 9,797 kilogram yang dinamakan MOAB GBU-43B itu membawa lebih 8 tan bahan letupan.

“Senjata pemusnah ini digugurkan dari sebuah pesawat jenis MC-130 di daerah Achin, Nangarhar,” katanya kelmarin.

Senjata yang juga dikenali sebagai ‘ibu segala bom’ itu tidak pernah digunakan di medan pertempuran sejak diuji pada tahun 2003.

Letupan bom MOAB GBU-43B menghasilkan awan berbentuk cen­dawan yang dapat dilihat dari jarak 32 kilometer.

Terdahulu, beberapa pegawai AS berkata, bom itu dirancang untuk digunakan di Afghanistan sejak dari era pentadbiran bekas Presiden Barack Obama.

Senjata dahsyat itu digunakan ketika AS meningkatkan kempen serangan udara terhadap militan Daesh dan Taliban di Afghanistan. Washington meletupkan hampir 500 butir bom di Afghanistan sepanjang masa tiga bulan tahun ini, meningkat daripada 300 butir bom berbanding tempoh sama pada tahun 2016.

Sementara itu, bekas Presiden Afghanistan, Hamid Karzai mengutuk penggunaan bom itu di bumi Afghanistan.

“Ini bukannya perang menentang keganasan tetapi penyalahgunaan paling kejam dan tidak berperikemanusiaan ke atas negara kami yang digunakan sebagai tapak ujian senjata baharu dan berbahaya,” katanya di laman Twitter. – Reuters

Sumber: Kosmo! Online

Share: