![]() |
JAKARTA Warga Jakarta akan mengundi pada Rabu ini untuk memilih Gabenor kota raya itu dalam pusingan kedua pilihan raya ketua daerah (Pilkada) selepas kempen yang mencetuskan ketegangan politik dan agama di Indonesia.
Tinjauan pendapat menunjukkan persaingan begitu sengit antara penyandang jawatan tersebut, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok, 50, dan lawannya, Anies Baswedan.
Ahok merupakan etnik Cina beragama Kristian, manakala Anies, 47, ialah bekas Menteri Pelajaran Indonesia.
Pilkada Jakarta juga dilihat sebagai cermin kepada iklim politik di Indonesia menjelang pilihan raya Presiden pada 2019.
Negara dengan umat Islam paling ramai di dunia itu menghadapi pertembungan antara dasar sekular, diamalkan sejak kemerdekaan Indonesia selepas Perang Dunia Kedua dan politik Islam yang semakin kukuh.
Pilihan raya ini menjadi ujian untuk dasar pluralisme di Indonesia, jika dasar ini boleh menghadapi tekanan daripada kumpulan-kumpulan agama (Islam).
Indonesia kini di persimpangan dan maksud saya, seluruh Indonesia dan bukan hanya Jakarta, kata Wimar Witoelar yang merupakan penganalisis politik dan bekas penasihat kepada mantan Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid.
Ahok menang tipis ke atas Anies dalam pusingan pertama Pilkada Jakarta yang diadakan pada 15 Februari lalu.
Tinjauan pendapat oleh firma analisis Indikator pada 12 hingga 14 April lalu bagaimanapun mendapati 48.2 peratus pengundi kini menyokong Anies berbanding 47.4 peratus lagi yang memilih Ahok, manakala bakinya pula masih tidak membuat keputusan.
Ahok yang menggantikan Presiden Indonesia, Joko Widodo sebagai Gabenor Jakarta pada tahun 2014, popular dalam kalangan penduduk kota raya berkenaan kerana usaha beliau menangani masalah banjir dan rasuah.
Namun, sokongan kepada beliau merosot susulan klip video kontroversi yang tersebar pada September tahun lalu.
Rakaman itu membayangkan Ahok menghina kitab suci al-Quran.
Beliau kini dibicarakan kerana tuduhan menghina Islam berhubung rakaman tersebut.
Kota raya Jakarta mempunyai kira-kira 10 juta penduduk. Reuters