Share:

KABUL – Jumlah kematian akibat letupan besar pada waktu puncak di kawasan diplomatik di sini kelmarin meningkat kepada 90 orang semalam.

Bilangan terkumpul mangsa cedera pula dilaporkan melonjak kepada 400 orang dalam letupan membabitkan sebuah lori kumbahan. Setakat ini, tiada mana-mana pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu.

Pihak berkuasa percaya lori berkenaan diisi dengan bahan letupan seberat 1.5 tan sekali gus menyebabkan letu­pan kuat yang menggegarkan bandar Kabul. Kejadian itu dilihat sebagai suatu kega­galan dalam aktiviti risikan negara.

“Serangan kuat ini me­ngorbankan 90 orang dan 400 lagi cedera termasuk wanita serta kanak-kanak,” kata jurucakap pusat media kerajaan yang tidak menolak kemungkinan angka kematian akan me­ningkat.

Seramai 11 pengawal Afghanistan yang bertugas di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) disahkan terbunuh, manakala 11 lagi rakyat negara itu yang bekerja di sini sebagai kontraktor cedera, kata pihak berkuasa AS.

Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani mengutuk serangan pengeboman itu sebagai jenayah perang. Insiden pengeboman itu dikatakan sebagai satu serangan paling buruk di bandar Kabul sejak Taliban diusir pada tahun 2001.

Agensi Perisikan Afghanis­tan menuduh sekutu Taliban iaitu Rangkaian Haqqani sebagai dalang serangan. Taliban menafikan terlibat dalam kejadian itu.

Perbadanan Penyiaran Bri­tish menyatakan pemandu warga Afghanistan, Mohammed Nazir terbunuh, manakala empat lagi wartawannya cedera dalam insiden tersebut.

Sebuah stesen televisyen tempatan, Tolo TV memaparkan mesej dalam Twitter bahawa seorang kakitangan mereka, Aziz Navin, disahkan terkorban.

Letupan kuat itu merosakkan beberapa pejabat Kedutaan di kawasan berkenaan di mana lokasi tersebut turut menempatkan kediaman diplomat-diplomat dan bangunan kerajaan yang dikawal oleh pengawal ke­selamatan.

Menteri Luar Jerman, Sigmar Gabriel berkata, sera­ngan ‘keji’ itu mengorbankan seorang pengawal Afghanis­tan di Kedutaan Jerman dan mencederakan beberapa kakitangannya. Beliau tidak memberi butiran lanjut me­ngenainya.

Beberapa negara terma­suk Perancis, India, Turki, Jepun, Emiriyah Arab Bersatu dan Bulgaria melaporkan kedutaan mereka mengalami kerosakan seperti tingkap pecah. – AFP

Sumber: Kosmo! Online

Share: