Share:

COLOMBO – Angka kematian akibat runtuhan ‘bukit’ sampah di sini meningkat kepada 19 orang semalam selain mengakibatkan 145 buah rumah musnah, kata beberapa pegawai.

Jurucakap Hospital Colombo, Pushpa Soysa berkata, dua remaja lelaki dan dua remaja perempuan antara 19 orang yang terkorban dalam insiden kelmarin. Mereka berusia antara 11 hingga 15 tahun.

Pushpa berkata, sejumlah 21 orang telah dibawa ke hospital dari Kolonnawa iaitu kawasan pembuangan sampah setinggi 91 meter yang kemudian me­nimpa ke atas sejumlah rumah.

“Kami masih bersiap sedia, beberapa orang telah berjaya dikeluarkan dari bawah runtuhan rumah sepanjang malam tadi. Lima daripada mereka telah meninggal dunia akibat cedera parah,” katanya.

Beratus-ratus tentera bersama dua jentera berat kini bertungkus-lumus mengorek timbunan sampah untuk mencari mangsa lain yang dikhua­tiri tertimbus.

Polis berkata, kira-kira 145 rumah pondok musnah apabila sebahagian sampah itu runtuh dan menimpa ke atas rumah berkenaan ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Menurut polis, seramai 625 orang telah diberikan perlin­dungan sementara di sekolah kerajaan berdekatan sebelum kejadian tersebut.

“Angka kematian kemungkinan lebih tinggi jika kebanyakan penduduk tidak meninggalkan rumah mereka sehari sebelum kejadian,” kata seorang pegawai pengurusan bencana yang enggan dikenali. – AFP

Sumber: Kosmo! Online

Share: